HARTA PUSAKA : Kenapa Mesti Merancang Cara Agihannya?

Peti-harta-karun-650x650Perancangan agihan harta pusaka bermaksud satu perancangan agihan yang dibuat terhadap harta anda yang bakal menjadi harta pusaka sebaik saja anda meninggal dunia. Anda boleh merancang agihannya mengikut keinginan dan hasrat anda dan ianya mestilah dibuat berlandaskan hukum syara’.

Dengan membuat perancangan agihan harta pusaka ketika anda masih hidup ianya akan memberikan kemudahan kepada pentadbir harta pusaka yang dilantik ketika hayat anda dan seterusnya harta tersebut dapat dicairkan untuk diagihkan mengikut arahan dan hasrat yang terkandung dalam surat wasiat anda.

Anda perlu tahu bahawa terdapat beberapa proses yang berbeza dalam mengurus harta pusaka yang berwasiat dan tidak berwasiat. Dalam proses pengurusan harta pusaka berwasiat, sebaik sahaja anda meninggal dunia pentadbir harta pusaka yang telah dilantik boleh terus ke mahkamah tinggi untuk mendapatkan probate yang merupakan kuasa mentadbir harta pusaka anda dan setelah itu harta pusaka yang terbeku tadi boleh terus dicairkan.

Berbeza dengan proses pengurusan harta pusaka yang tidak berwasiat di mana proses untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration) hanya boleh diperolehi setelah pentadbir harta pusaka dilantik.

Proses melantik pentadbir untuk harta pusaka tidak berwasiat boleh jadi mudah dan mungkin boleh jadi sukar. Ini kerana untuk menjadi seorang pentadbir harta pusaka tidak berwasiat ianya memerlukan komitmen MASA dan KEWANGAN.

Atas faktor inilah ramai dikalangan saudara mara ataupun ahli waris yang berkeinginan untuk menjadi pentadbir harta pusaka tidak sanggup untuk memikul tanggungjawab ini dan menyebabkan proses pengurusan harta pusaka tidak berwasiat menjadi tertangguh.

Sebaliknya masalah seperti ini tidak terjadi bagi harta pusaka berwasiat kerana pentadbir (juga lebih dikenali sebagai wasi) telahpun dilantik ketika anda masih hidup. Jadi sebaik saja anda meninggal dunia maka wasi yang dilantik akan menjalankan tanggungjawabnya untuk mendapatkan probate dari mahkamah tinggi dan setelah itu harta pusaka anda boleh terus dicairkan, maka proses agihan boleh terus dilakukan dengan berpandukan kepada turutan seperti berikut:-

  1. Menyelesaikan Perbelanjaan Pengkebumian

Sekiranya kos pengkebumian si mati menggunakan wang ahli keluarga yang lain maka mereka boleh menuntut semula jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan dari harta pusaka yang telah dicairkan tadi.

  1. Menyelesaikan Hutang Piutang

Hutang piutang si mati tidak terhad kepada hutang sesama manusia seperti hutang dengan individu, hutang dengan institusi kewangan, tunggakan cukai malah ianya melibatkan juga dengan ‘tunggakan hutang’ dengan Allah seperti tunggakan zakat, fidyah, kaffarah, haji dan seumpamanya. Semua bentuk hutang ini mestilah dijelaskan menggunakan harta pusaka si mati.

Mengapa hutang perlu dijelaskan walaupun si berhutang telah meninggal dunia? Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:-

“Jiwa seorang mu’min itu akan tergantung dengan hutangnya sehingga ianya dilangsaikan”

Hadis ini menyimpulkan bahawa membayar balik setiap hutang yang dibuat ketika hidup seseorang muslim WAJIB dibayar melainkan jika si pemberi pinjam menghalalkannya.

Bagaimana kalau si mati tidak mempunyai harta pusaka yang cukup untuk membayar segala hutang piutangnya?

Dalam hal ini fungsi surat wasiat amat penting. Tujuan menulis wasiat bukan sekadar untuk menjelaskan cara pembahagian harta pusaka sahaja malah ianya lebih dari itu.

Adalah amat digalakkan si pewasiat untuk menyenaraikan segala hutang-piutangnya dalam surat wasiat yang dibuat.

Dengan adanya senarai ini maka pihak waris mengatahui bahawa si mati mempunyai hutang dan mereka boleh membantu untuk melangsaikan hutang tersebut sekadar yang mampu seandainya harta pusaka si mati itu tadi tidak mencukupi.

  1. Menyelesaikan Tuntutan Harta Sepencarian

Seandainya anda telah berkahwin dan ditakdirkan meninggal dunia maka pasangan anda berhak untuk membuat tuntutan harta sepencarian terlebih dahulu sebelum harta pusaka anda diagihkan.

Dalam hal berapakah jumlah yang bakal diterima oleh pasangan anda ianya adalah bergantung kepada keputusan hakim mahkamah syariah.

  1. Agihan Secara Wasiat Tidak Melebihi 1/3

Mengagihkan 1/3 daripada baki harta pusaka yang tinggal secara wasiat adalah dibolehkan dan ianya adalah khusus untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang BUKAN dari kalangan ahli waris faraid seperti keluarga angkat, anak tiri atau sesiapa sahaja ataupun untuk tujuan kebajikan seperti sedekah, waqaf dan seumpamanya.

Menerusi kaedah ini si mati akan memperolehi ganjaran dalam bentuk doa dan juga pahala atas apa telah dilakukannya daripada harta pusaka tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:-

“Apabila matinya seorang anak adam maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.”

Di sini jelas menunjukkan bahawa bukan semua harta pusaka anda akan memberikan manfaat buat ahli waris. Malah ianya boleh juga memberikan manfaat buat diri anda ketika di alam kubur.

  1. Agihan Kepada Waris Faraid

Baki yang tinggal selepas agihan secara wasiat 1/3 tadi barulah diagihkan kepada semua ahli waris faraid (ashabul furud) samada kadarnya mengikut hasrat anda jika semuanya bersetuju atau mengikut kaedah faraid jika terdapat tentangan daripada mana-mana ahli waris.

Dengan penjelasan diatas diharapkan anda dapat temui jawapan bagi soalan yang menjadi tajuk artikel ini. Ingatlah bahawa segala harta yang bakal anda ditinggalkan boleh memberikan manfaat buat anda dan juga semua orang yang tersayang.

Apa yang penting ialah perancangan mesti dibuat SEKARANG ketika anda masih lagi hidup. Semua orang tahu yang semua makhluk bernyawa akan mati namun persoalannya ialah bilakah saat itu akan tiba tiada siapa yang tahu.

Tanggapan yang mengatakan merancang agihan harta pusaka merupakan ‘tanda’ anda bakal dijemput oleh malaikat maut adalah tidak benar sama sekali.

Terlalu banyak manfaat yang boleh diperolehi daripada harta yang ditinggalkan seperti yang dinyatakan diatas tadi jika anda membuat perancangan agihanya.

Perancangan agihan harta pusaka boleh dibuat menerusi penulisan surat wasiat yang lengkap. Surat wasiat yang lengkap akan mengandungi semua perkara-perkara perlu tentang harta pusaka anda dan juga perkara-perkara sampingan yang ingin disertakan seperti hak penjagaan anak di bawah umur atau hak penjagaan harta bagi ahli waris bawah umur dan sebagainya.

Harapan ADD semoga artikel ini dapat membuka minda anda tentang kepentingan merancang agihan harta pusaka.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s